Skip to main content

Malaysia

Reformasi, dasar Kerajaan MADANI pacu pertumbuhan KDNK 5.8 peratus - PM Anwar

JOHOR BAHRU, 4 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Hi-Tea Pemimpin Kristian Johor bersama Perdana Menteri hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Reformasi serta dasar yang dilaksanakan Kerajaan MADANI sejak lebih tiga tahun lepas telah memperkukuh asas ekonomi negara dan membolehkan Malaysia mengharungi gelora dengan lebih yakin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Reformasi serta dasar yang dilaksanakan Kerajaan MADANI sejak lebih tiga tahun lepas telah memperkukuh asas ekonomi negara dan membolehkan Malaysia mengharungi gelora dengan lebih yakin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata anggaran awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026, lebih kukuh berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya serta mengatasi unjuran median ahli ekonomi sebanyak 5.2 peratus.

“Ekonomi negara terus menunjukkan daya tahan meskipun dunia berdepan keberantakan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan perdagangan,” kata beliau.

Anwar berkata pencapaian itu menguatkan tekad Kerajaan MADANI untuk terus istiqamah pada landasan reformasi, memperkukuh daya tahan ekonomi serta mengimbangi tuntutan pertumbuhan, kesejahteraan rakyat dan tanggungjawab fiskal.

Kerajaan MADANI akan terus bekerja lebih kuat bagi memastikan kekuatan ekonomi diterjemahkan kepada lebih banyak pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan serta kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah buat seluruh rakyat, kata beliau.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF), Anwar berkata Kerangka Ekonomi MADANI telah memperkukuh keupayaan negara untuk mengekalkan pertumbuhan yang lestari walaupun dunia terus mengalami ketidaktentuan.

“Namun, kita harus menginsafi bahawa pencapaian ini menuntut kita untuk terus istiqamah pada landasan reformasi,” kata beliau.

Beliau berkata Kerajaan MADANI mengakui di sebalik angka pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, ramai rakyat serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih menghadapi kesulitan susulan tempias krisis global yang turut dirasai di dalam negara.

“Hatta, sejak tercetusnya krisis Asia Barat, kerajaan telah bertungkus-lumus menggerakkan pelbagai ikhtiar bagi meringankan beban rakyat, menjamin bekalan barangan penting dan memastikan kelangsungan perniagaan,” kata beliau. 

Anwar berkata walaupun cabaran yang bakal dihadapi sukar diramalkan namun, amanah kerajaan kekal jelas iaitu melindungi kesejahteraan rakyat, memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan di samping melihara tanggungjawab fiskal negara.

“Kerajaan MADANI akan terus menimbang setiap ikhtiar dengan cermat agar tiada kelompok yang tercicir, perniagaan dapat terus beroperasi dan daya tahan negara terus diperkukuh,” kata beliau. 

Dalam laporan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Suku Kedua 2026 hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026 selepas mencatat pertumbuhan 5.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

DOSM memaklumkan prestasi itu disokong oleh pertumbuhan dalam hampir semua sektor ekonomi kecuali sektor pertanian yang mencatatkan penguncupan.

Bagi separuh pertama 2026, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.6 peratus berbanding 4.5 peratus dalam tempoh sama pada 2025.

DOSM menjelaskan pihaknya akan menerbitkan KDNK preliminari bagi suku kedua 2026 pada 14 Ogos 2026 yang menyediakan analisis terperinci dan komprehensif mengenai prestasi ekonomi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement