KUALA LUMPUR:Jawatankuasa Khas Dewan Negara mencadangkan reformasi penjara dipertimbangkan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah kesesakan penjara termasuk peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan banduan.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata langkah tersebut melibatkan aspek menjamin kesihatan, kebersihan, keberkesanan notasi Kanun Keseksaan, mengelakkan suasana penjara terbiar dan lain-lain langkah semerta.

"Pindaan undang-undang sedia ada (Akta Penjara 1995) dan kaedahnya dilihat sebagai mendesak," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, sistem banduan untuk jalani hukuman alternatif dalam masyarakat perlu dikaji dan pendekatan baharu dilaksanakan supaya soal penguatkuasaan tidak diremehkan.

"Memperluaskan mekanisme pembebasan banduan secara kebenaran khas atau yang berlesen dengan syarat keselamatan awam terjamin serta pendekatan anti-COVID-19 wajib dilakukan secara semerta untuk mengelakkan penyebaran lebih banyak kluster tembok," katanya.

Rais berkata Dewan Negara selaku badan legislatif berperanan mencari penyelesaian terbaik berkaitan isu prasarana penjara yang tidak mampu menampung bilangan banduan apabila bertambahnya kes jenayah melibatkan pemenjaraan atau tahanan.

"Ini menyebabkan 25 daripada 38 penjara di seluruh negara kini sesak. Jumlah banduan di seluruh negara adalah seramai 68,730, sedangkan jumlah sepatutnya tidak melebihi 52,000 orang," katanya.

-- BERNAMA