KUALA LUMPUR: Penglibatan wanita dalam politik negara perlu diperkasakan melalui reformasi sistem yang lebih menyeluruh dan berstruktur, bagi memastikan representasi yang lebih seimbang, kata Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata penyertaan wanita dalam arena politik masih berada pada tahap rendah dan tidak mencerminkan keupayaan sebenar mereka, walaupun golongan itu mencatat pencapaian memberangsangkan dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Advertisement
“Ketika wanita mendominasi lebih 60 peratus kemasukan ke universiti dan kadar penyertaan tenaga buruh wanita mencecah 56.6 peratus, perwakilan wanita di Dewan Rakyat masih sekitar 13.5 peratus sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Voices of HER di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.
Noraini berkata keadaan itu menunjukkan wujud jurang ketara antara pencapaian wanita dalam sektor lain berbanding penglibatan dalam proses membuat keputusan politik.
Beliau berkata kekurangan suara wanita dalam politik bukan sahaja memberi kesan kepada golongan itu, malah turut menjejaskan kualiti dasar awam yang lebih inklusif dan menyeluruh.
Sehubungan itu, Noraini mencadangkan beberapa pendekatan termasuk pelaksanaan mekanisme kuota atau insentif dalam sistem pilihan raya, penambahbaikan struktur pencalonan parti politik serta pembangunan kepimpinan wanita secara sistematik.
Beliau turut menegaskan bahawa perubahan budaya masyarakat terhadap kepimpinan wanita perlu diperkukuh, bagi memastikan lebih ramai wanita diberi peluang berada di barisan hadapan dalam menentukan hala tuju negara.
“Peningkatan penyertaan wanita tidak akan berlaku secara semula jadi tanpa intervensi dasar yang jelas, terancang dan berterusan,” katanya.
Forum bertemakan “Wanita dan Politik: Kepimpinan, Representasi dan Realiti” itu, menghimpunkan tokoh tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan cabaran serta strategi memperkukuh peranan wanita dalam landskap politik.
-- BERNAMA