SLIM RIVER: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun maut apabila motosikal yang dibonceng terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Slim Village, dekat sini, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang membonceng motosikal yang ditunggang adik lelakinya berusia 15 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati, pemandu lori berumur 34 tahun sedang dalam perjalanan dari Slim Village ke Slim River.

Menurutnya, apabila sampai di lokasi kejadian, sebuah motosikal yang ditunggang remaja berumur 15 tahun cuba memotong lori berkenaan.

“Bagaimanapun terdapat kenderaan lain dari arah bertentangan menyebabkan penunggang motosikal mengelak dan bergesel dengan lori,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, kemalangan menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi, manakala penunggang motosikal terjatuh di bahagian tayar belakang lori dan patah kaki kiri.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Slim River dan bedah siasat akan dijalankan setelah selesai ujian COVID-19.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.