[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Bapa Dibebaskan, Ibu Diperintah Bela Diri – Semak Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Remaja antara lima lelaki ditahan disyaki gaduh di Dataran Merdeka

Bernama 03/06/2025 | 10:39 MYT
Kesemua suspek lelaki yang ditahan itu direman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki termasuk remaja berusia lingkungan 17 hingga 23 tahun kerana disyaki terlibat dalam insiden pergaduhan berhampiran Dataran Merdeka di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata kesemua suspek lelaki yang ditahan di sekitar ibu negara itu direman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Polis memandang serius insiden yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sulizmie Affendy berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

Pada 31 Mei lepas, tular video berdurasi 23 saat di media sosial yang memaparkan beberapa lelaki bergaduh dan memukul antara satu sama lain menggunakan topi keledar.

-- BERNAMA

#polis #pergaduhan #Dataran Merdeka #remaja #ketenteraman awam