KUALA LUMPUR : Remaja berusia 18 tahun ke bawah bakal menerima suntikan vaksin COVID-19 bermula pada minggu hadapan.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, inisiatif itu akan dimulakan di Sarawak susulan kelancaran pemberian vaksin di negeri itu yang kini sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasanya divaksin.

"Kita akan mulakan dengan remaja di Sarawak memandangkan negeri berkenaan sudah melepasi sasaran 80 peratus populasi dewasanya divaksin," kata beliau dalam sesi temu bual bersama media pada Sabtu.

Ujar beliau lagi, tetapan sasaran bagi remaja yang divaksin akan dibuat berdasarkan jumlah bekalan vaksin yang diterima.

"Saya berharap, lebih ramai golongan remaja mendapat vaksinasi dalam tempoh 100 hari akan datang.

"Kita mahu, apabila bermulanya penggal persekolahan baharu pada tahun hadapan, semua remaja telah melengkapkan suntikan vaksin mereka," katanya.

Mengulas berkenaan langkah untuk menangguhkan pembukaan semula sekolah pada Oktober hadapan selagi pelajar belum lengkap divaksinasi, ujar beliau, perkara berkenaan akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan.

"Kita akan mengadakan satu perbincangan dan meneliti risiko pelaksanaannya," tambah beliau.

Untuk rekod, setakat ini, kerajaan hanya meluluskan penggunaan vaksin jenis Pfizer-BioNTech buat remaja berusia 12 ke 17 tahun.

Kementerian Kesihatan dalam masa sama akan melaksanakan pemberian vaksin tersebut di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas yang ditetapkan, klinik serta menerusi program outreach yang dijalankan di sekolah-sekolah.