MALAYSIA

Remaja Britain hilang sejak Jun tidak alami trauma atau kecederaan - Polis

Bernama 05/09/2025 | 14:45 MYT
Fadil berkata hasil siasatan awal mendapati remaja itu dikatakan meninggalkan rumahnya di Britain berpunca daripada perselisihan faham dengan keluarga dan datang ke Malaysia pada 6 Jun lepas. - Gambar PDRM
KUALA LUMPUR: Remaja warga United Kingdom, David Renz Galletes Balisong yang dilaporkan hilang sejak tiga bulan lepas, disahkan tidak mengalami sebarang trauma atau kecederaan selepas ditemukan di sebuah hotel di Jalan Pudu dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata hal itu hasil pemeriksaan kesihatan terhadap remaja berusia 17 tahun itu di Hospital Cyberjaya dan Balisong telah diserahkan kepada ibunya dalam keadaan selamat.

"Mangsa akan dibawa pulang ke Britain kerana Visa Lawatan mangsa tamat hari ini dan kini (kes) remaja itu telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) KLIA untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata hasil siasatan awal mendapati remaja itu dikatakan meninggalkan rumahnya di Britain berpunca daripada perselisihan faham dengan keluarga dan datang ke Malaysia pada 6 Jun lepas.

Beliau berkata Balisong ditemukan hasil maklumat yang diterima daripada seorang lelaki dikenali sebagai 'Uncle Kentang' sebelum sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menemukannya di hotel tersebut pada 5.17 petang.

Pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester itu meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan menaiki penerbangan seorang diri dari Manchester ke Kuala Lumpur serta bertindak mematikan telefon sejurus tiba di Malaysia.

Remaja terbabit dilaporkan menghantar e-mel kepada ibunya buat kali terakhir pada 9 Julai lepas dan antara kandungan e-mel itu ialah pesanan supaya ahli keluarga tidak mencari atau bimbangkan keadaan dirinya selain mendoakan agar mereka berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf atas tindakannya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dalam kenyataan berkata siasatan awal mendapati remaja itu tiba di Malaysia secara bersendirian dan menetap di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur sebelum ditemukan.

Shazeli berkata remaja itu juga didapati tidak mempunyai kenalan tempatan dan bergantung sepenuhnya kepada wang tunai yang dibawa dari negara asal.

"Penemuan remaja ini membolehkan siasatan lanjut dijalankan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan individu terbabit," katanya.

Shazeli turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang terus menunjukkan keprihatinan terhadap kejadian itu selain menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang menjejaskan maruah atau kerahsiaan pihak terlibat.

-- BERNAMA


#KLIA #trauma #pelajar cemerlang #e-mel