MALAYSIA

Remaja cederakan bekas OCPD Dang Wangi diperintah jalani hukuman khidmat masyarakat

Bernama 04/02/2026 | 07:09 MYT
Pada 11 Sept 2025, media melaporkan beberapa individu ditahan berhubung kecederaan yang dialami Sulizmie Affendy (gambar) ketika berlaku rempuhan oleh sekumpulan individu di Kampung Sungai Baru. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Remaja lelaki yang mengaku bersalah mencederakan bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi Senior Asisten Komisioner (SAC) Sulizmie Affendy Sulaiman sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 100 jam.

Perkara itu dimaklumkan peguam Muhammad Najib Ahmad yang mewakili remaja berusia 16 tahun itu selepas prosiding kes di hadapan Majistret Nurfarahain Roslan di sini hari ini.

"Mahkamah memerintahkan anak guam menyelesaikan hukuman dalam masa enam bulan dengan pemantauan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Semasa prosiding, pihak pembelaan merayu agar mahkamah memberikan hukuman berbentuk amaran, namun pihak pendakwaan memohon dia dikenakan hukuman khidmat masyarakat," katanya kepada pemberita selepas prosiding yang dijalankan secara tertutup kerana membabitkan remaja bawah umur.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi menakutkan Sulizmie Affendy dalam menjalankan tugasnya sebagai pegawai pemerintah.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru, dekat sini, antara 10.50 hingga 11.14 pagi, 11 Sept 2025 mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebelum ini, enam individu lain terlibat dalam insiden sama dikenakan denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret berasingan di sini, kerana menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang, iaitu menentang proses notis pengosongan walaupun diarahkan bersurai mengikut undang-undang pada waktu, lokasi dan tarikh sama.

Pada 11 Sept 2025, media melaporkan beberapa individu ditahan berhubung kecederaan yang dialami Sulizmie Affendy ketika berlaku rempuhan oleh sekumpulan individu di Kampung Sungai Baru.

Beliau dilaporkan mengalami kecederaan di kepala akibat terkena objek yang dibaling oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di kawasan berkenaan.

Operasi dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan tersebut.

-- BERNAMA

#isu kampung sungai baru #OCPD Dang Wangi #OCPD cedera #khidmat masyarakat