NATIONAL
Remaja dibelasah beramai-ramai, 10 lelaki ditahan
Keadaan remaja didakwa dipukul secara berkumpulan. -Sinar Harian
SEREMBAN: Polis menahan 10 lelaki termasuk remaja berusia 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes serangan ke atas seorang lelaki di Kampung Sentosa Jaya pada Jumaat.
Ringkasan AI
- Polis menahan 10 lelaki termasuk remaja berusia 17 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes serangan ke atas seorang remaja di Kampung Sentosa Jaya.
- Kejadian dipercayai berpunca daripada selisih faham antara mangsa dengan salah seorang suspek yang menyangka mangsa telah mencederakan adiknya.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan polis memohon saksi awam untuk tampil membantu siasatan.
Kejadian itu tular di media sosial selepas mangsa seorang remaja berusia 17 mengalami cedera di bahagian muka akibat dipukul secara beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3 pagi berhampiran kedai makan dan gelanggang futsal.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada selisih faham antara mangsa dengan salah seorang suspek yang menyangka mangsa telah mencederakan adiknya.
"Aduan dibuat bapa mangsa selepas anaknya telah dipukul secara beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki.
"Kesan kejadian itu mangsa mengalami cedera lebam di mata dan sakit seluruh badan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, polis memandang serius sebarang bentuk keganasan dan pada masa sama menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi tidak benar.
Beliau turut memohon saksi awam yang melihat kejadian itu agar tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
"Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban untuk soal siasatan dan proses permohonan reman akan dilakukan," katanya. -Sinar Harian