[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
MALAYSIA

Remaja dikaitkan JI, Malaysia pilih pendekatan pemulihan - Ayob Khan

Bernama 20/01/2026 | 14:40 MYT
Ayob Khan berkata pendirian Cawangan Khas adalah mengusahakan supaya remaja itu dibawa pulang dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta mengikuti program pemulihan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pendekatan pemulihan secara holistik dalam menangani ancaman keganasan yang dilaksanakan pihak berkuasa terbukti berkesan menerusi operasi membawa pulang 13 remaja warga Malaysia yang dikaitkan dengan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) daripada Pakistan pada 2003.


Ringkasan AI
  • Pendekatan pemulihan holistik berjaya membawa pulang 13 remaja Malaysia yang terlibat dengan Jemaah Islamiyah dari Pakistan pada 2003.
  • Malaysia menolak permintaan untuk serahkan remaja tersebut kepada Amerika Syarikat untuk Guantanamo Bay, Cuba, dengan menekankan pendekatan pemulihan dan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
  • Program pemulihan tahanan pengganas dan militan oleh Cawangan Khas disifatkan sebagai salah satu yang terbaik di peringkat serantau dan global, menarik minat agensi penguat kuasa asing untuk mempelajari kaedah yang digunakan.


Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Malaysia memilih pendekatan berbeza, walaupun terdapat permohonan supaya remaja berusia antara 16 hingga 25 tahun itu diserahkan kepada Amerika Syarikat untuk ditempatkan di Guantanamo Bay, Cuba kerana terlibat dengan Al-Qaeda.

Beliau berkata pendirian Cawangan Khas adalah mengusahakan supaya remaja itu dibawa pulang dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta mengikuti program pemulihan.

"Pada November 2003, Datuk Yusof Rahaman, Pengarah Cawangan Khas ketika itu telah mengambil inisiatif menghantar satu delegasi terdiri dari Dato' Anuar Basha (Timbalan Pengarah Cawangan Khas), Dato' Aziz Hussin (berpangkat Supt ketika itu), saya (pangkat DSP ketika itu) dan beberapa lagi pegawai CK ke Pakistan untuk berunding.

"Setelah beberapa siri rundingan diadakan antara kami dengan pihak keselamatan Pakistan di Islamabad, akhirnya mereka bersetuju untuk menyerahkan kesemua (13) rakyat Malaysia tersebut kepada kami untuk dibawa pulang ke Malaysia, " kata Ayob Khan dalam hantaran Facebook.

Kesemua remaja itu ialah anak kepada anggota-anggota JI Malaysia yang dihantar untuk melanjutkan pengajian di universiti di Karachi.

Mereka akan menyusup ke Afghanistan untuk menjalani latihan ketenteraan semasa cuti semester dan ada sebahagian menjalani latihan di Kem Al-Qaeda di Afghanistan dan di Kem Lashkar E-Toiba, Kashmir.

Beliau turut mendedahkan pemimpin-pemimpin tertinggi JI mempunyai visi dan misi untuk memastikan kesinambungan perjuangan JI.

Bermula sejak pertengahan 1990-an, mereka mula menghantar anak-anak anggota JI untuk melanjutkan pengajian di Pakistan dan mengikuti latihan ketenteraan di kem berkenaan.

"Sel ini dikenali sebagai sel Al-Ghuraba. Mereka ini akan menjadi barisan pelapis untuk memimpin JI apabila kembali ke Malaysia," kata Ayob Khan sambil menambah mereka berlepas pulang ke Malaysia pada 9 Dis 2003 bersama pasukan eskot Cawangan Khas menggunakan pesawat khas.

Beliau berkata sekembali di Malaysia ada dalam kalangan mereka yang dikenakan Perintah Tahanan, Perintah Sekatan dan dibebaskan tanpa syarat.

Mereka yang dikenakan Perintah Tahanan dan Perintah Sekatan, beliau berkata Cawangan Khas menyediakan guru tuisyen bagi membantu mereka membuat persiapan untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program pemulihan tahanan pengganas dan militan yang dikendalikan oleh Cawangan Khas adalah antara yang terbaik sama ada pada peringkat serantau mahupun global, dan banyak agensi penguat kuasa asing berminat untuk mempelajari kaedah serta pendekatan yang digunakan.

-- BERNAMA

#remaja dikaitkan JI #Jemaah Islamiyah #Pakistan #ayob khan mydin pitchay