Seorang remaja lelaki diberkas polis selepas dipercayai menjadi pengedar dadah dalam satu serbuan di kawasan bangunan Kedai Batu, Taman Merpati, pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, suspek tempatan berumur 16 tahun itu dicekup bersama lapan paket lutsinar berisi dadah jenis syabu atau dikenali sebagai 'batu' di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin berkata, suspek dicekup dalam satu operasi pencegahan jenayah.

Menurutnya, remaja itu dilihat dalam keadaan mencurigakan lalu diperiksa.

"Sebaik diperiksa, lapan paket plastik lutsinar disyaki berisi syabu ditemui pada suspek.

"Remaja itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan untuk tindakan lanjut.

"Ujian air kencing suspek turut didapati positif dadah," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 39A(1) dan 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.