MALAYSIA
Remaja ditemui lemas selepas jatuh sungai ketika memancing

Mayat mangsa ditemui jam 12.40 tengah hari di kawasan Empangan Sungai Kobat kira-kira satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai tergelincir. -Sinar Harian
KUANTAN: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ketika memancing bersama rakan di Sungai Kuantan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam, di sini, ditemui lemas pada Rabu.
Ringkasan AI
- Remaja lelaki berusia 15 tahun, Muhammad Isyraf Danish, ditemui lemas di Empangan Sungai Kobat selepas tergelincir ketika memancing di Sungai Kuantan.
- Mayat mangsa ditemui satu kilometer dari lokasi kejadian hasil kerjasama pelbagai agensi penyelamat termasuk bomba, polis, APM dan Perhilitan.
- Pihak bomba menolak dakwaan penglibatan buaya dan menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan emosi keluarga mangsa.
“Penemuan ini merupakan hasil kerjasama erat antara agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Marin dan bantuan orang awam.
“Pihak polis merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat dan masyarakat setempat yang terlibat dalam usaha menyelamat ini,” katanya.
Sementara itu, pihak bomba menolak dakwaan bahawa kes lemas tersebut mempunyai kaitan dengan buaya sebagaimana maklumat yang tular di media sosial.
Pengarah JBPM Pahang, Mohd Razam Taja Rahim berkata, tiada bukti kukuh bahawa reptilia terbabit dalam kejadian itu setakat ini.
Menurutnya, ketika kejadian, air surut dan mangsa dipercayai terjatuh disebabkan tergelincir ekoran keadaan tebing sungai yang licin.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat dan menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh menyebabkan keadaan panik kepada masyarakat.
“Perbuatan itu juga boleh menimbulkan rasa tidak selesa serta mengganggu emosi ahli keluarga mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.
Mohd Razam berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Mahkota 2 itu diperluaskan sehingga lima kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh sebelum mayatnya ditemui.
“Selain bomba, operasi SAR turut dibantu polis dan APM dengan kekuatan seramai 42 anggota.
“Pihak Perhilitan turut membantu dalam operasi berkenaan bermula semalam hingga mangsa dijumpai,” katanya.
Muhammad Isyraf Danish dilaporkan terjatuh kira-kira jam 6.30 petang pada Selasa ketika memancing bersama rakan di sungai berkenaan.
Mangsa dipercayai turun ke gigi air untuk menarik tali pancing yang tersekat sebelum tergelincir dan tenggelam dibawa arus. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami