23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

Remaja ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam tali air

Bernama 04/10/2025 | 12:35 MYT
Mangsa berusia 13 tahun dikatakan pergi memancing bersama empat rakannya di kawasan berkenaan. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam tali air di Kampung Alor Setol, Langgar, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata dalam kejadian itu, mangsa berusia 13 tahun dikatakan pergi memancing bersama empat rakannya di kawasan berkenaan.

"Pusat Kawalan (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar menerima panggilan orang awam pada jam 10.04 pagi memaklumkan seorang remaja lelaki tidak sedarkan diri di tepi tali air di kampung itu.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang juga pelajar sebuah sekolah di Pokok Sena dipercayai tergelincir ke dalam tali air ketika melalui kawasan berkenaan. Rakan-rakannya cuba menyelamatkannya, namun gagal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siti Nor Salawati berkata pembantu perubatan dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) yang hadir ke lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Beliau berkata siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

-- BERNAMA

#lemas #Tali air #remaja lemas #kampung alor setol #polis