Remaja hilang ditemukan lemas di Air Terjun Chamang

Bernama
Jun 16, 2023 05:00 MYT
Remaja lelaki yang dilaporkan hilang semasa mandi di Air Terjun Chamang, Bentong semalam ditemukan lemas hari ini. -Gambar fail/Sinar Harian
KUANTAN: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang semasa mandi di Air Terjun Chamang, Bentong semalam ditemukan lemas hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata mayat Muhamad Akmal Husni Mohamad Ridzuan, 19, ditemukan pada 9.52 pagi oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media semalam melaporkan mangsa yang merupakan pelajar pondok di Perak difahamkan menyertai aktiviti perkhemahan di kawasan air terjun itu bersama 14 pelajar selama empat hari bermula Rabu.
-- BERNAMA
#Air Terjun Chamang #Muhamad Akmal Husni Mohamad Ridzuan #PPDA #aktiviti perkhemahan