NATIONAL

Remaja hilang ketika mandi lombong ditemukan lemas

Sinar Harian 18/05/2025 | 05:05 MYT
Seorang ahli keluarga memeluk jenazah mangsa setelah berjaya dibawa naik oleh pasukan penyelamat di Gopeng pada Ahad. -Foto ihsan Bomba Perak
GOPENG: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di sebuah lombong di Jalan Kilang Simen, Kota Bharu di sini pada Sabtu ditemui lemas.


Ringkasan AI
  • Remaja lelaki, Muhammad Fazrul Qusry Ahmad Asmawi, 18 tahun, ditemui lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi di sebuah lombong di Gopeng, Perak.
  • Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh pasukan bomba bersama polis, APM dan orang awam, dan mayat mangsa ditemui pada hari kedua operasi oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
  • Mangsa merupakan anak saudara kepada anggota bomba tempatan, dan kejadian ini mengundang suasana pilu apabila ahli keluarga memeluk jenazah sebaik sahaja ia dibawa naik ke darat.


Dalam kejadian itu, mangsa, Muhammad Fazrul Qusry Ahmad Asmawi, 18, dikatakan memancing bersama rakannya telah turun dari bot untuk mandi.

Difahamkan mangsa cuba berenang untuk menyeberangi lombong sebelum disedari hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Sharudi Muhamad Halil berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan sebaik menerima maklumat kejadian itu pada jam 6.49 petang.

"Mangsa merupakan anak saudara kepada salah seorang anggota BBP Gopeng. Operasi secara berkala dilakukan menggunakan kaedah pencari permukaan dengan menggunakan bot.

"Bagaimanapun, usaha itu ditangguhkan pada jam 11.15 malam berikutan keadaan cuaca yang gelap," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Menurut beliau, mayat mangsa berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada hari kedua operasi.

"Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) yang membuat selaman pada jam 9.28 pagi berjaya menemui mangsa kira-kira 12 minit kemudian pada jarak 4.5 meter di kedalaman antara tiga hingga tujuh meter.

"Mayat mangsa dibawa ke tebing dan diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Katanya, seramai 16 anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan dan dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam. -Sinar Harian





#Muhammad Fazrul Qusry Ahmad Asmawi #operasi mencari dan menyelamat #lombong #Jalan Kilang Simen