Remaja hilang selepas ke sekolah masih belum ditemui

Madiha Abdullah
November 16, 2016 01:15 MYT
Orang ramai yang melihat Aliaa boleh menghubungi bapanya di talian 018-6624450 atau ahli keluarga lain di 018-510 6343 atau 019-653 6343.
Selepas lebih 24 jam, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang sejak pagi semalam, masih belum ditemui.
Aliaa Syafiqah Nazar tidak dapat dikesan selepas kali terakhir dilihat di perkarangan sekolahnya di Kampung Sungai Tangkas, Bangi, kira-kira jam 7.50 pagi semalam.
Bapanya, Mohd Norjuahari Nazar Nazari, ketika dihubungi pagi ini berkata, mereka sekeluarga telah membuat laporan polis semalam dan siasatan sehingga kini masih berjalan.
"Kami cuba mencari Aliaa dan bertanyakan kepada rakan-rakannya, namun semuanya tidak berhasil," katanya mengenai anaknya yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Islam Al Amin, Bangi.
Mereka juga telah meminta bantuan untuk mengesan sebarang isyarat dan aktiviti dari telefon bimbit yang digunakan Aliaa.
Bernama melaporkan semalam, Aliaa dikatakan tertekan dengan rakan-rakan sekolah kerana sering bertanyakan tentang ibunya yang tidak ditemui semenjak 2008.
Mohd Norjuahari dipetik berkata, Aliaa yang tinggal bersama keluarganya di Bandar Baru Bangi, disedari hilang kira-kira 10 pagi Selasa selepas didapati tiada di dalam bilik tidurnya.
Anak sulungnya itu kali terakhir dilihat di perkarangan sekolah dengan berbaju merah jambu, bertudung labuh berwarna jingga dan berpurdah, berseluar jeans serta memakai beg sandang.
"Pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekolahnya menunjukkan Aliaa memakai purdah berwarna krim berseorangan di luar sekolah kira-kira 7.50 pagi tadi...saya hairan kerana selalunya dia tidak mengenakan purdah," katanya kepada Bernama.
Mohd Norjuahari dilaporkan berkata anaknya itu pernah meminta untuk ditukarkan ke sekolah lain kerana mengadu tertekan dengan rakan-rakan sekolah yang kerap bertanyakan tentang ibunya yang telah lama berpisah dengan beliau.
"Saya telah aturkan perpindahan sekolah untuknya pada sesi tahun depan... mungkin dia terlalu tertekan sehingga menghilangkan diri," katanya.
Katanya, ibu Aliaa yang tinggal di Ampang memaklumkan ada menerima mesej daripada Aliaa menerusi aplikasi Whatsapp yang menyatakan hasrat ingin bertemunya semalam, namun Aliaa gagal dikesan selepas nombor telefon digunakannya gagal dihubungi.
Laporan polis dibuat oleh datuk Aliaa di Balai Polis Bandar Baru Bangi. Ia disahkan Ketua Polis Daerah Kajang ACP Othman Nanyan.
Mohd Norjuahari turut menyebarkan gambar Aliaa di laman sosial bagi meminta bantuan orang ramai mengesannya.
Katanya orang ramai yang melihat Aliaa boleh menghubunginya di talian 018-6624450 atau ahli keluarga lain di 018-510 6343 atau 019-653 6343.
#Aliaa Syafiqah Nazar #hilang #kehilangan #viral