BERA: Seorang remaja lelaki 15 tahun dan rakannya berusia 11 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang dihanyutkan arus di  Sungai Triang berhampiran Kampung Kerayong di sini, hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Bera, Kapten (PA) Ahmad Azmi Hanfiah berkata, kedua-dua mangsa terdahulu mandi di kawasan berpasir dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu.

"Berdasarkan makluman awal, seorang daripada mereka dihanyutkan arus, sebelum seorang lagi rakan cuba menyelamatkannya.

"Bagaimanapun, kedua-dua mereka kemudian hilang akibat arus deras," katanya.

Sehingga jam 6 petang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bera belum menemui kedua-dua mangsa.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, N. Kumaran berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa bersama enam lagi rakan ke kawasan itu sekitar jam 3.30 petang.

"Mangsa dipercayai mandi menggunakan pelampung tayar, tetapi pelampung itu dikatakan terlepas daripada pegangan mereka berikutan arus deras.

"Ada yang melihat mangsa terkapai-kapai dihanyutkan arus sebelum dipercayai lemas sekitar jam 4.30 petang," katanya.

Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Nik Ikmal Shah Ismail, 15 dan Muhammad Danial Isryad Norazlan, 11, yang masing-masing merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong.