NATIONAL
Remaja lawan arus lari sekatan jalan raya parah kemalangan
Tangkap layar video tular memaparkan remaja berkenaan ketika membuat pusingan U secara berbahaya bagi mengelak sekatan jalan raya yang dijalankan oleh pihak polis.
KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengalami kecederaan parah selepas cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya dengan menunggang motosikal secara melawan arus di Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA), Seksyen 14, pada Ahad.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9 malam di Kilometer 7.3 Lebuhraya LKSA, remaja berkenaan, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss, bertindak membuat pusingan U secara berbahaya bagi mengelak sekatan jalan raya yang dijalankan oleh pihak polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal bin Ibrahim, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang bertugas cuba menahan remaja tersebut, namun dia enggan berhenti dan bertindak menyeberangi jalan serta menaiki pembahagi jalan dengan cara berbahaya.
“Tindakan itu menyebabkan motosikal yang ditungganginya dilanggar dan diseret oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang melalui lebuh raya berkenaan. Akibatnya, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan serius.
"Remaja terbabit segera dihantar ke Hospital Shah Alam oleh pihak ambulans untuk rawatan lanjut.
"Dia dilaporkan mengalami patah paha kiri, patah bahu kiri serta bahu kanan dan masih menerima rawatan di wad hospital berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mendapati mangsa cuba melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu, selain motosikal yang digunakannya tidak memiliki cukai jalan yang sah.
"Bagaimanapun, mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sebarang maklumat lanjut berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Insp. Vemal Subramaniam di talian 011-39216101 atau Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 017-2836851.