ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki autisme dikhuatiri hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kepala Batas dekat Jitra semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata Wan Mukhlish Wan Mohammad, 17, disedari hilang oleh bapanya yang berusia 53 tahun pada kira-kira 2 petang.
“Bapa remaja itu, yang bekerja sebagai guru, telah menyedari bahawa anak sulung daripada tiga beradik itu tiada di dalam rumah... bapa mangsa mengesyaki anaknya itu telah membuka pintu yang berkunci dan berpagar.
“Remaja itu, yang juga pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi, dipercayai tidak memakai baju, hanya berseluar pendek hitam dan selipar biru ketika keluar dari rumah,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata bapa remaja itu yang bimbang dengan keselamatan anaknya telah membuat laporan polis pada 6.31 petang dan setakat ini, Wan Mukhlish masih belum ditemukan.
-- BERNAMA