Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Remaja lelaki ditemukan lemas dalam parit di Batu Pahat

Bernama 12/08/2025 | 11:30 MYT
Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan lemas di dalam parit berhampiran Dewan Orang Ramai Parit Senah, Parit Ya'ani Tengah dekat Yong Peng pagi tadi. - Foto JBPM Johor/Sinar Harian
BATU PAHAT: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan lemas di dalam parit berhampiran Dewan Orang Ramai Parit Senah, Parit Ya'ani Tengah dekat Yong Peng pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.48 pagi.

Menurut Kenyataan itu, sebanyak tujuh anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Hasil maklumat di lokasi mendapati remaja terbabit ditemukan di dalam parit berhampiran dewan dan telah dibawa naik oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba, serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

"Pasukan keluaran operasi bomba bertindak membuat pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar bagi memastikan keadaan selamat sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.38 pagi," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA



#remaja lelaki #ditemukan lemas #Dewan Orang Ramai Parit Senah #yong peng