MALAYSIA

Remaja lelaki ditemukan lemas terjatuh dalam sungai di Jeli

Bernama 05/02/2026 | 15:58 MYT
Panggilan kecemasan diterima pada 7.04 malam sebelum 10 pegawai dan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Rabbana, Jeli, petang tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Hasmin Nasrun Abd Rahman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.04 malam sebelum 10 pegawai dan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata setibanya di lokasi, pihaknya mengesahkan seorang remaja lelaki telah tenggelam di sungai berkenaan.

"Mangsa yang berusia 14 tahun, dipercayai ke sungai berkenaan bersama dua rakan sebayanya sebelum terjatuh ... . Apabila mangsa tidak timbul, seorang rakan bergegas pulang memaklumkan kejadian kepada keluarga, manakala seorang lagi menunggu di tebing sungai," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hasmin berkata mangsa ditemukan kira-kira 7.30 malam, pada jarak kira-kira 10 meter dari lokasi dia dipercayai tenggelam.

Beliau berkata mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

#lemas #bomba #panggilan kecemasan #Sungai #Kampung Rabbana #jeli