SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditemukan maut dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Lorong Astana, Bandar Sri Astana, di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi, PBK I Mohd Zaki Senik berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 4.51 pagi memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah rumah dengan api sedang marak.
Susulan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dibantu BBP Aman Jaya digerakkan ke lokasi kejadian melibatkan 22 anggota serta beberapa aset termasuk jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan jentera bantuan.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.07 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A setingkat berukuran kira-kira 20 x 60 kaki.
“Kebakaran dianggarkan memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur rumah dan dipercayai bermula dari bahagian hadapan rumah.
"Turut musnah sebuah kereta Perodua Alza yang terbakar 90 peratus serta empat buah motosikal,” katanya.
Mohd Zaki berkata, pasukan bomba menemukan seorang mangsa lelaki berusia 18 tahun di ruang loteng rumah berukuran 10 kaki x 10 kaki pada jam 5.23 pagi.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam kejadian sama, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani dengan ambulans KKM untuk menerima rawatan lanjut.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu pancutan serta salur bantu mula. Sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.41 pagi dan kerja-kerja overhaul masih dijalankan ketika ini,” katanya.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.