Remaja lemas ketika berenang bersama rakan di tasik

Bernama
Disember 14, 2023 08:34 MYT
Mayat mangsa dijumpai oleh Unit PPDA dengan anggaran kedalaman lima meter dari dasar.- Foto Bomba Selangor
KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai berenang bersama-sama empat rakannya di sebuah tasik di Jalan SP3, Bandar Saujana Putra, Selangor pada 1.12 tengah hari tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.33 pagi.
"Apabila tiba di lokasi terdapat seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas. Kerja mencari di permukaan air giat dijalankan, dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Shah Alam dan Pelabuhan Klang telah digerakkan ke lokasi kejadian.
"Remaja itu didapati telah lemas di tasik dengan anggaran lingkungan lima meter dari tebing dan kedalaman lima meter dari kawasan mangsa dikuatiri lemas. Mayat mangsa dijumpai oleh Unit PPDA dengan anggaran kedalaman lima meter dari dasar," menurut kenyataan itu.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
#remaja lemas #Bandar Saujana Putra #bomba Selangor #Pasukan Penyelamat Di Air