Remaja maut kemalangan, pemandu kereta cedera dipukul

Adie Sufian Zulkefli
Januari 10, 2021 10:42 MYT
Mayat remaja yang maut itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -PDRM
SUNGAI PETANI: Seorang pemandu warga emas dipukul oleh orang awam selepas terlibat dalam kemalangan sehingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut di Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil, malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, dalam kejadian jam 9.15 malam itu, lelaki berusia 57 tahun berkenaan yang memandu Proton Saga dipercayai cuba membuat pusingan U.
"Namun tindakannya membrek secara mengejut dipercayai mengakibatkan lima kenderaan termasuk empat motosikal yang berada di belakang keretanya tidak sempat berhenti lalu melanggar keretanya.
"Kemudian motosikal yang ditunggang seorang remaja berusia 18 tahun gagal mengelak lalu merempuh kereta Proton Saga itu sehingga mengakibat dia tercampak ke tengah jalan.
"Sebuah kereta Perodua Viva yang tidak nampak mangsa berada di atas jalan telah melanggar mangsa sehingga mengakibat dia meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini, hari ini.
Adzli berkata, ekoran kejadian itu pemandu kereta berkenaan dipukul oleh orang awam menyebabkannya cedera pada kepala.
Beliau berkata, mayat remaja yang maut itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#kemalangan #warga emas #dipukul #remaja #maut #Sungai Petani #Kuala Ketil #remaja maut