MALAYSIA

Remaja maut, kereta bertembung SUV di Sitiawan

Abd Razak Mohd Ali 29/11/2021 | 23:20 MYT
Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. - Foto JBPM
BERUAS: Seorang remaja maut apabila kereta yang dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Taman Hijau, Sitiawan, dekat sini, awal pagi ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Nga Hu Chen, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.12 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan bertembung menyebabkan pemandu Perodua Myvi tersepit manakala pemandu Proton X70 mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut jurucakap itu, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan maut oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azizi Kamaruddin tamat jam 1.55 pagi.




#Nahas #remaja #meninggal dunia #bertembung