Remaja maut, pembonceng kritikal dalam kemalangan tiga kenderaan

Nur Fazlizai Ali
Jun 11, 2020 02:45 MYT
Tayar lori pecah menyebabkan ia hilang kawalan lalu merempuh motosikal mangsa dan sebuah kereta di laluan bertentangan dalam kejadian di Jalan Persekutuan Kota Bharu-Kuala Terengganu malam tadi. - Astro AWANI
Seorang remaja lelaki maut manakala pemboncengnya kritikal selepas motosikal mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dalam kejadian pada Rabu.
Nahas berlaku di Kilometer 65 Jalan Persekutuan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhampiran Kampung Putera Jaya, di sini, pada kira-kira jam 8.30 malam.
Mangsa, Muhammad Daniel Mikhail Johan, 14 tahun, maut di tempat kejadian.
Kejadian dipercayai berlaku selepas tayar lori yang datang dari arah Kota Bharu pecah, menyebabkannya hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Susulan itu, lori berkenaan dikatakan telah merempuh motosikal jenis Yamaha 135 LC yang dinaiki dua mangsa itu, serta sebuah kereta Proton Iswara.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri Supt Abd Razak Hasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang kritikal dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Akta Pengangkutan Jalan 1987 #hilang kawalan #Kampung Putera Jaya #kemalangan maut #kereta #Kota Bharu #Kuala Terengganu #Lori #mangsa #masuk laluan bertentangan #mayat #motosikal #pembonceng #remaja #Setiu #tayar lori pecah