[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Remaja maut, tiga cedera dalam nahas di Kampung Lajau

Bernama 19/09/2025 | 01:15 MYT
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan jenazahnya telah dihantar ke Hospital Labuan untuk proses bedah siasat. - Gambar hiasan
LABUAN: Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas jalan raya membabitkan sebuah kereta di Kampung Lajau dekat sini awal pagi tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Shazlan, 16, telah tersepit di tempat duduk penumpang belakang apabila kereta itu terbabas pada kira-kira 1 pagi.

Tiga lagi mangsa iaitu Siti Roziana Roslan, 14, Mohd Sufree Sadatol, 20, dan Mohd Nazrin Nazri, 19, mengalami kecederaan separa kritikal dan dirawat di zon kuning Jabatan Kecemasan Hospital Labuan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Labuan Abdul Rahman Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung nahas itu pada 1.42 pagi.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati dua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital oleh sebuah ambulans... dua lagi masih di lokasi kejadian iaitu Muhammad Shazlan yang tersepit di tempat penumpang belakang dan Siti Roziana, yang tercampak keluar dari kenderaan," katanya.

Beliau berkata meskipun anggota bomba bertungkus lumus untuk mengeluarkan mangsa namun Muhammad Shazlan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan jenazahnya telah dihantar ke Hospital Labuan untuk proses bedah siasat.

Punca kejadian masih disiasat.

-- BERNAMA






#Nahas #remaja #tersepit #kereta terbabas