NATIONAL

Remaja perempuan berusia 15 tahun hilang

Bernama 07/05/2025 | 05:00 MYT
Remaja tersebut kali terakhir dilihat oleh bapanya pada pukul 10.30 malam Isnin ketika sedang makan di rumah.
KUANTAN: Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang dan dipercayai melarikan diri dari rumah keluarganya di Taman Mahkota Permai di sini sejak awal pagi semalam.


Ringkasan AI
  • Seorang remaja perempuan, Putri Alya Husna Mohd Jabar, 15, dilaporkan hilang dari rumah keluarganya di Taman Mahkota Permai sejak awal pagi semalam.
  • Remaja tersebut kali terakhir dilihat oleh bapanya pada pukul 10.30 malam Isnin ketika sedang makan di rumah. Tiada masalah atau pertengkaran dilaporkan berlaku antara keluarga dengannya.
  • Remaja itu tidak mempunyai telefon bimbit kerana telah dirampas oleh bapanya dan tidak mempunyai rakan rapat sejak berpindah ke Taman Mahkota Permai. Dia mempunyai ketinggian antara 160 hingga 165 sentimeter, berambut lurus paras pinggang berwarna hitam, berbadan kurus, berwajah bersih dan tidak mempunyai sebarang parut.


Putri Alya Husna Mohd Jabar, 15, disedari hilang oleh bapanya pada kira-kira 3 pagi (Selasa) selepas mendapati anaknya tiada di dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Zahari Wan Busu berkata siasatan awal mendapati kali terakhir remaja itu dilihat oleh bapanya ialah pada pukul 10.30 malam Isnin ketika dia sedang makan di rumah.

"Pengadu memaklumkan tiada sebarang masalah atau pertengkaran berlaku antara mereka sekeluarga dengan remaja itu. Beliau juga memberitahu remaja itu pernah keluar rumah sebelum ini tetapi akan pulang semula," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata remaja itu tidak mempunyai rakan rapat sejak keluarganya berpindah dari Taman Tas ke Taman Mahkota Permai, dan sehingga kini masih belum bersekolah.

Menurutnya, remaja itu tidak mempunyai telefon bimbit kerana telah dirampas oleh bapanya disebabkan dia sering keluar rumah tanpa memaklumkan kepada ibu bapanya.

Wan Zahari berkata, dia mempunyai ketinggian dianggarkan antara 160 hingga 165 sentimeter, berambut lurus paras pinggang berwarna hitam, berbadan kurus, berwajah bersih dan tidak mempunyai sebarang parut.

-- BERNAMA




#Remaja perempuan #laporan hilang #lari dari rumah #masalah keluarga