Remaja perempuan disimbah asid: Polis panggil 12 individu

Sinar Harian
Disember 30, 2023 05:53 MYT
Mangsa mengalami kecederaan parah selepas disimbah asid oleh seorang lelaki ketika pulang dari kerja di Denai Alam dekat sini, 8 November lalu. -Foto Sinar Harian
Seramai 12 individu dirakam keterangan susulan kes melibatkan seorang remaja perempuan cedera parah selepas disimbah asid ketika pulang dari kerja di Denai Alam dekat sini, 8 November lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dalam mengesan individu terlibat dalam kejadian berkenaan.
"Setakat ini, polis telah merakam keterangan melibatkan 12 individu bagi membantu siasatan berkaitan kes terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
8 November lalu, mangsa, Nadia Fasha Qistina, 19, disimbah asid seorang lelaki menyamar sebagai pekerja e-hailing sebelum suspek kemudian bertindak melarikan diri.
Kejadian difahamkan berlaku ketika mangsa pulang dari kerja di sebuah klinik di lokasi kejadian.
Mangsa mengalami kecederaan parah di muka dan badan serta kaki sehingga terpaksa menjalani lapan kali pembedahan akibat kejadian. -Sinar Harian
#simbah asid #remaja perempuan cedera parah #denai alam #Polis panggil 12 individu