MALAYSIA

Remaja perempuan maut terjatuh dari tingkat 21 pangsapuri di Paya Terubong

Dewi Nur Harasha Alias 14/09/2025 | 22:15 MYT
Hasil siasatan awal bersama Pasukan Siasatan Forensik IPK Pulau Pinang mendapati tiada unsur jenayah terlibat. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 21 sebuah pangsapuri di Paya Terubong, Air Itam, Pulau Pinang.

Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di lantai bawah bangunan tersebut sekitar jam 8 malam, Ahad.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 8.06 malam.

Hasil siasatan awal bersama Pasukan Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang mendapati tiada unsur jenayah terlibat.

Menurut Abdul Rozak, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat yang dijangka dijalankan pada hari Isnin.

Beliau turut menggesa orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes.







#remaja #maut #terjatuh #pangsapuri