ALOR GAJAH: Seorang pelancong maut manakala lima lagi cedera selepas bas ekspres dua tingkat dinaiki terbakar dalam nahas di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, mangsa yang maut merupakan remaja warganegara India berusia 17 tahun.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Timbalan Penguasa Bomba II (KUP) Zahrul Azha Mokhtar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 3.55 pagi sebelum 21 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Bas ini membawa 30 mangsa  termasuk pemandu dan pemandu pelancong dan kejadian mengakibatkan lima daripadanya cedera sebelum dihantar ke hospital.

“Apabila tiba di lokasi, kita dapati bas ini terbakar 100 peratus selepas melanggar sebuah motosikal yang terbabas lebih awal di lokasi kejadian,”katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, pasukan bomba turut mencari dan mengesan jika ada mangsa lain di bahagian bawah bas dan sepanjang 150 meter laluan lebuh raya.

“Pemeriksaan mendapati penunggang motosikal juga tiada di lokasi dan dapat dihubungi selamat di lokasi lain berdasarkan nombor plat motosikal yang dijejaki pihak polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan penunggang motosikal berkenaan terselamat kerana bangun dan mengelak ke kiri lebuh raya selepas terbabas.

"Penunggang lelaki berusia 21 tahun itu mengalami luka-luka di badan namun motosikal jenis Honda Dash terbakar bersama-sama bas berkenaan yang membawa 28 penumpang warga Singapura dan India.

"Mangsa pelancong perempuan dari Chennai, Tamil Nadu India disahkan maut ketika sedang menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.

"Empat ahli keluarganya yang lain turut cedera termasuk dua parah dan dirawat di Hospital Alor Gajah manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.