MALAYSIA
Remaja sebabkan 5 kematian didenda RM1,500, dihantar ke Sekolah Henry Gurney
Majistret membuat keputusan itu selepas menerima laporan akhlak daripada JKMserta mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya. - Gambar hiasan
KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan seorang remaja lelaki menjalani pemulihan di Sekolah Henry Gurney selama enam tahun kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan lima kematian dalam satu kemalangan di sini pada Januari lepas.
Ringkasan AI
- Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dijatuhi hukuman pemulihan selama enam tahun di Sekolah Henry Gurney kerana memandu secara berbahaya hingga menyebabkan lima kematian dalam kemalangan pada Januari lalu.
- Remaja tersebut turut didenda RM1,500 atau penjara dua bulan kerana memandu bawah umur, manakala bapanya dikenakan denda RM15,000 dan kerja kemasyarakatan kerana membenarkan anaknya memandu tanpa pengawasan.
- Kemalangan berlaku di Jalan Stutong Baru, Kuching, melibatkan kereta yang dipandu remaja itu merempuh dua kenderaan dan dua motosikal, menyebabkan lima kematian.
Majistret Ling Hui Chuan turut memerintahkan remaja berusia 15 tahun itu menjalani hukuman tersebut sehingga mencapai usia 21 tahun, selain dikenakan denda RM1,500 atau dipenjara dua bulan atas kesalahan memandu kenderaan semasa berumur bawah 16 tahun.
Keputusan itu dibuat oleh Ling selepas menerima laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji.
Remaja terbabit, yang membuat pengakuan bersalah pada 14 Mei lepas, tidak diwakili peguam dan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan serta Seksyen 39(1) akta sama kerana memandu semasa berumur kurang daripada 16 tahun.
Mohd Fillanny ketika ditemui pemberita memaklumkan pihak pendakwaan memohon hukuman yang lebih berat, termasuk penjara, memandangkan kejadian tersebut melibatkan kehilangan lima nyawa dan wajar dijadikan pengajaran kepada orang ramai berikutan peningkatan kes kemalangan di Kuching.
Pada 14 Mei lepas, bapa kepada remaja terbabit yang berusia 35 tahun turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membenarkan anaknya memandu tanpa pengawasan sewajarnya dan dijatuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara 12 bulan.
Tertuduh juga diarahkan menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.
Dalam kemalangan yang berlaku pada 14 Jan lepas di Jalan Stutong Baru di sini, kereta yang dipandu remaja tersebut hilang kawalan dan merempuh dua kenderaan serta dua motosikal.
Kejadian itu mengakibatkan empat mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.
-- BERNAMA