Remaja terkejut temui bagasi busuk, jumpa mayat dengan tangan, mata dan kaki dilekat pita

Rudi Affendi Khalik
Julai 20, 2019 01:04 MYT
Bomba yang tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati terdapat sebuah beg bagasi yang dikunci. - Foto Astro AWANI
Seorang remaja 13 tahun yang sedang memancing terkejut apabila menemui sebuah bagasi pakaian yang berbau busuk mengandungi mayat seorang lelaki di Kampung Pangkalan Bau di Bau, Sarawak pada Jumaat.
Kejadian berlaku sekitar jam 5.00 petang dengan bagasi tersebut hanyut di sungai di kampung berkenaan.


Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat tersebut.


Menurutnya, pihaknya masih menunggu pasukan forensik untuk mengesahkan identiti mayat terbabit.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Ebby Hirwandy Sarbini memberitahu, mereka menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis sekitar jam 7.24 malam.


Bomba katanya, tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati terdapat sebuah beg bagasi yang dikunci.

Bagasi tersebut dinaikkan ke permukaan rata dan apabila dibuka, terdapat mayat seorang lelaki berumur sekitar 40 ke 50-an dengan tangan, mata dan kaki dilekat pita pelekat.


Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, katanya lagi.
#bagasi berbau busuk #Bau #mayat #mayat diikat pelekat #polis #remaja #Sarawak