MALAYSIA

Reman bekas Panglima TDM tidak dilanjut, seorang lagi pegawai tinggi ATM ditahan - KP SPRM

Bernama 14/01/2026 | 06:15 MYT
Azam berkata pegawai tinggi berkenaan ditahan pada 11 pagi dan kini sedang disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang lagi pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu siasatan berhubung satu kes rasuah melibatkan pasukan beruniform itu.


Ringkasan AI
  • Seorang pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia ditahan oleh SPRM bagi siasatan kes rasuah melibatkan pasukan beruniform.
  • Bekas Panglima Tentera Darat yang sebelum ini direman telah dibebaskan, tetapi masih disiasat oleh SPRM.
  • SPRM telah menyita aset mewah bernilai RM2.2 juta dan sedang menyiasat projek-projek di Kementerian Pertahanan berhubung perolehan tender terbuka.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pegawai berkenaan ditahan pada 11 pagi dan kini sedang disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

Beliau berkata seorang bekas Panglima Tentera Darat (PTD) yang sebelum ini direman telah dibebaskan daripada tahanan SPRM pada Isnin lepas, selepas tempoh reman tamat.

"SPRM akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai kes (kedua-dua pegawai) berkenaan dalam sidang media yang dijadualkan berlangsung esok (Khamis)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Azam memaklumkan permohonan lanjutan reman terhadap bekas PTD yang ditahan berhubung kes rasuah tender perolehan akan dibuat berdasarkan keperluan siasatan semasa.

SPRM sebelum ini telah menyita aset mewah bernilai lebih RM2.2 juta susulan penggeledahan di sebuah kediaman di Pantai Timur dipercayai milik isteri kedua kepada bekas pegawai tertinggi tentera darat.

Pada 23 Dis lepas, SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

-- BERNAMA


#SPRM #ATM #skandal rasuah #bekas panglima tentera darat