[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Reman pemandu kren disyaki dera anak saudara disambung dua hari

Bernama 10/09/2025 | 11:30 MYT
Lelaki berkenaan ditahan polis pada 12.20 tengah malam Ahad dan disyaki memukul tangan kiri kanak-kanak berkenaan dengan tali pinggang hingga menyebabkan kesan lebam pada tangan mangsa. - Gambar hiasan
KANGAR: Reman terhadap seorang pemandu kren disyaki mendera anak saudara lelakinya berusia enam tahun di sebuah rumah di Jalan Kilang Ais, Kuala Perlis dekat sini disambung dua hari bermula esok.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata perintah reman hingga Jumaat terhadap lelaki berusia 26 tahun itu dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor hari ini.

"Dalam tempoh ini, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perlis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lelaki berkenaan ditahan polis pada 12.20 tengah malam Ahad dan disyaki memukul tangan kiri kanak-kanak berkenaan dengan tali pinggang hingga menyebabkan kesan lebam pada tangan mangsa.

Lelaki berkenaan direman selama empat hari, yang berakhir hari ini.

-- BERNAMA



#kes dera #pemandu kren #Perlis #dera anak saudara