Reman pendakwah muda disambung lima hari lagi

Bernama
Disember 1, 2020 07:46 MYT
Pendakwah selebriti (dua, kanan) dari sebuah rancangan realiti televisyen diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Shah Alam hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tempoh reman terhadap seorang pendakwah muda yang juga selebriti televisyen disambung lima hari lagi bermula esok, bagi membantu siasatan berhubung kes merogol seorang wanita yang dikenali di laman sosial Instagram September tahun lepas.
Perintah sambungan reman terhadap suspek berumur 25 tahun itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Ahmad Feisal Mohd Azmi di Mahkamah Majistret di sini selepas tempoh reman lima hari bermula Jumaat lepas berakhir hari ini.
Terdahulu suspek yang merupakan bekas peserta program realiti agama sebuah televisyen swasta hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam pada kira-kira 11 pagi dan diwakili peguam Ahmad Amzar Ahmad Azlan.
Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat memaklumkan setakat ini polis menerima enam laporan berkaitan kes seksual dan mencederakan melibatkan pendakwah muda itu, dengan masing-masing lima kes di Shah Alam dan satu di Petaling Jaya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul), Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya.
Suspek ditahan pada Jumaat lepas susulan satu laporan dibuat oleh mangsa berumur 23 tahun pada Rabu lepas atas dakwaan merogol.
-- BERNAMA
#seks #shah alam #Mahkamah Majistret #pendakwah muda #kes merogol seorang wanita #penceramah bebas #realiti televisyen #pendakwah selebriti