Reman penganggur penggal kepala ibu dilanjutkan empat hari

Bernama
Januari 22, 2022 09:34 MYT
Tempoh tahanan reman seorang penganggur yang disyaki memenggal kepala ibunya, dilanjutkan empat hari lagi.
SHAH ALAM: Tempoh tahanan reman seorang penganggur yang disyaki memenggal kepala ibunya di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor dekat sini dilanjutkan empat hari lagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintenden Ramli Kasa berkata reman suspek berusia 28 tahun itu dilanjutkan hingga Selasa depan selepas perintah yang dikeluarkan pada 16 Jan tamat hari ini.
"Jika tiada halangan, suspek itu berkemungkinan didakwa Isnin ini," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan suspek setelah menerima maklumat mengenai seorang wanita berusia 56 tahun dicederakan anak lelakinya pada 5.45 petang 15 Jan lepas.
Polis turut merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam insiden itu dan laporan awal ujian air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis metamfetamina serta amfetamina.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#tempoh tahanan reman #penganggur #penggal kepala ibu #Kampung Baru Pasir Penambang #Polis Daerah Kuala Selangor