PARIT: Tempoh reman ke atas seorang pegawai rendah polis berpangkat sarjan yang disyaki merogol pelajar perempuan Tingkatan Empat, disambung sehari lagi.

Suspek berusia lingkungan 42 tahun itu ditahan 28 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin pada Rabu membenarkan lelaki terbabit dilanjutkan reman hingga esok.

Terdahulu, suspek yang memakai jersi berwarna hitam tiba di Mahkamah Majistret Parit jam 8.50 pagi dengan menaiki kereta polis sebelum keluar sejam kemudian.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang dihubungi pada sebelah pagi berkata, pihaknya akan memohon untuk menyambung reman anggota polis berkenaan, hari ini.

“Untuk pagi ini, kita mohon sambung reman. Kertas siasatan ada di Bukit Aman untuk dirujuk ke pejabat AGC hari ini untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Pada Isnin, Mohd Yusri mengesahkan anggota polis itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, pada Ahad.

Rabu lalu, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mendakwa dirogol seorang pegawai rendah polis berpangkat sarjan dalam kejadian berasingan pada Julai dan Oktober tahun lepas.

Pelajar Tingkatan Empat itu mendakwa dirogol di dalam sebuah kereta di dua lokasi berasingan di hadapan balai polis dan di kawasan parkir pasar raya dalam daerah Perak Tengah.

Perbuatan itu diketahui selepas ibu pelajar terbabit mendesak anaknya sehingga mangsa membongkar perbuatan suspek berusia 42 tahun sebelum membuat laporan polis.