[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
DREBAR

Renault Malaysia tampil dengan SUV kompak Captur

Astro Publication 29/07/2015 | 14:27 MYT

Nampaknya tumpuan industri automotif (dan pembeli) adalah kepada segmen SUV kompak atau crossover. Renault pun sudah membuka langkah mereka dan memperkenalkan model Captur secara prebiu di Bangsar, Kuala Lumpur awal hari ini.
Ia dibina diatas platform Clio, jadi saiznya memang tidak pergi jauh daripada hatchback tersebut; cuma sedikit besar dan tinggi agar menepati keperluan biasa bagi SUV. Dan ini juga membayangkan bahawa ia mempunyai kualiti pemanduan yang lincah.
Dari segi rupa, bahagian hadapan adalah paling menonjol dengan gril yang didominasi logo Renault krom. Secara keseluruhannya, ia praktikal terutamanya dari saiz serta praktikal untuk keluarga kecil – cukup ruang untuk semua penumpang, tetapi tidak terlalu besar hingga menyukarkan pemanduan.
Seperti yang mungkin dibayangkan oleh rekaan luar model ini, ruang kabin dikemaskan dengan papan pemuka yang ringkas tetapi ranggi. Terdapat beberapa ciri yang praktikal pada Captur ini, seperti alas tempat duduk yang boleh dibuka supaya ia lebih mudah dicuci.

(Klik untuk galeri penuh)

Tumpuan penumpang sudah pasti tertumpu ke skrin 7-inci di tengah-tengah papan pemuka di mana pelbagai maklumat ditunjukkan, termasuk untuk sistem navigasi dan unit hiburan. Belum pasti sama ada semua ciri sistem R Link oleh Renault lengkap di sini.
Keunikan paling ketara pada Captur ini berbanding SUV lain adalah enjinnya. Dengan kapasiti 1,197cc, renault Captur mempunyai enjin yang kecil, tetapi mempunyai output kuasa 120hp dan 190Nm yang dicapai dengan bantuan pengecas turbo. Serentak dengan itu, ia juga memberikan penjimatan bahan api yang terbaik dalam kelasnya iaitu sehingga 5.4L/100km. Kotak gear klac berkembar EDC turut menyumbang kepada kecekapan ini.
Bagi menambah ketenangan minda seperti semua pemilik kenderaan penumpang Renault, selang servis untuk Captur adalah pada setiap 10,000km atau selama enam bulan, yang mana terdahulu. Captur juga hadir bersama jaminan kilang selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Harga bagi Renault Captur ini belum lagi diputuskan (pelancaran rasmi hanya akan dilakukan akhir tahun ini), tetapi ia dijangka akan bermula dari RM118,000.
Mereka yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Renault Captur boleh mendaftar di laman web www.captur.com.my.

(Klik untuk galeri penuh)

# # Captur # TC Euro Cars #Renault