DREBAR

Renault Megane generasi terbaharu akan muncul di Frankfurt

Astro Publication 08/09/2015 | 17:25 MYT

Orang Perancis memang dikenali sebagai bergaya dan mempunyai citarasa yang tinggi, dan bila melihat imej-imej pertama Renault Megane baharu nampaknya pendapat itu sukar hendak disangkal. Jika sebelum ini ramai yang memuji kereta-kereta Korea, fokus rekaan kereta yang paling menarik perhatian ramai pasti akan ke Renault pula.
Tidak banyak penggayaan daripada Megane generasi lepas yang dipindahkan kepada yang baharu, sebaliknya ia diinspirasikan rekaan gaya terkini jenama ini. Sebab itu, ia lebih mirip kepada model Talisman yang baharu diumumkan.
Komponen yang paling mendominasi rekaan keseluruhan kereta ini kemungkinan adalah lampunya – depan dan belakang. Jika dilihat, lampu belakang bagaikan melintang keseluruhan ekor kereta dan menambah kesan visual lebar yang ada.

Akan tiba di Frankfurt, Jerman tidak lama lagi - Renault Megane generasi terkini.

Posted by Drebar.my on Tuesday, 8 September 2015

Megane generasi baharu ini juga 47mm lebih lebar (di hadapan) dan 39mm lebih lebar di belakang berbanding Megane yang digantinya.

Versi GT eksklusif yang dijadualkan akan ditunjukkan bersama varian Megane biasa buat pertama kali di Frankfurt. Apa yang ada pada GT adalah, antara lain, corong ekzos krom dan spoiler belakang. Selain itu, versi GT ini boleh didapati di dalam warna ‘Iron Blue’ bersama ‘Dark Metal’ pada beberapa bahagian lain. Tayar pula bersaiz 18-inci yang dihasilkan khas oleh Renault Sport.
Untuk perincian Renault Megane baharu, kita hanya perlu menunggu untuk lebih kurang seminggu sahaja lagi apabila ia akan dipamerkan buat pertama kali di Frankfurt.

# # Megane #Renault