KOTA KINABALU: Selaras keputusan kerajaan Persekutuan, Sabah bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 5 Mac sehingga 18 Mac depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata aktiviti rentas sempadan dibenarkan mengikut enam zon yang telah ditetapkan, kecuali bagi daerah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita mengambil keputusan tersebut setelah mendapat maklum balas dan juga nasihat daripada pihak-pihak yang berwajib, seperti Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, dan kita memikirkan itu adalah yang terbaik.

"Tetapi kita prihatin dan mengambil kira perkembangan yang lebih positif, yang lebih stabil, kita telah mengubah suai sekatan ini dengan memasukan daerah-daerah dalam kelompok-kelompok tertentu," katanya.

Enam zon tersebut ialah Zon 1 (Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar), Zon 2 (Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang), Zon 3 (Kudat, Kota Marudu dan Pitas), Zon 4 (Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod), Zon 5 (Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan) dan Zon 6 (Keningau, Tambunan dan Tenom).

"Dibawah PKPP, kerajaan negeri juga bersetuju membenarkan majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta, serta majlis sosial.

"Tertakluk kepada 50 peratus kapasiiti ruang premis dengan mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan  pemakaian pelitup muka dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Antara majlis yang dibenarkan ialah kenduri, majlis perkahwinan atau pertunangan, resepsi, majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion, retreat dan lain-lain majlis sosial.

Sabah semalam mencatatkan pertambahan 95 kes positif COVID-19. Satu kes kematian dicatatkan dari daerah Putatan.

Tiga daerah yang mencatatkan kes harian tertinggi ialah Keningau (31 kes), Kalabakan (17 kes), dan Kota Kinabalu (11 kes).