NATIONAL
Republik Tatarstan miliki potensi besar untuk diterokai, Malaysia sedia perkukuh hubungan dua hala - PM Anwar

Anwar mengadakan pertemuan bersama Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov, pada segmen kedua lawatan rasmi ke Rusia, di Kazan, 15 Mei 2025. --fotoBERNAMA
KAZAN (TATARSTAN): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Republik Tatarstan mempunyai potensi besar untuk diterokai dan Malaysia bersedia untuk berbincang mengenai isu perdagangan dan ekonomi seperti pengenalan perbankan Islam dan pembangunan industri halal di Kazan.
Ringkasan AI
- Kerjasama Ekonomi dan Halal - Malaysia berminat menjalin kerjasama dengan Republik Tatarstan dalam bidang perdagangan, termasuk pengenalan perbankan Islam dan pembangunan industri halal.
- Hubungan Dua Hala Diperkukuh - Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Rais Tatarstan, Rustam Minnikhanov, sepakat untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak melalui lawatan rasmi dan penyertaan dalam Kazan Forum 2025.
- Potensi dan Sokongan Malaysia - Tatarstan mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor seperti pertanian, minyak dan gas, teknologi maklumat, serta perbankan Islam dan Malaysia bersedia memberi sokongan dan berkongsi kepakaran dalam bidang-bidang ini.
"Saya percaya Tatarstan mempunyai potensi yang besar (dan terdapat) banyak cadangan yang telah dikemukakan. Kami bersedia untuk bekerjasama dan memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak," kata beliau semasa bertemu Rais (Ketua) Tatarstan, Rustam Minnikhanov.
Pertemuan itu diadakan di Kazan Kremlin dan dihadiri oleh Perdana Menteri Tatarstan, Alexey Pesoshin; Timbalan Menteri Tenaga Persekutuan Rusia, Roman Marshavin, wakil kementerian dan jabatan republik serta ketua-ketua syarikat utama dalam industri pembinaan mesin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengetuai delegasi terdiri daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Li Kang; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Cheong Loon Lai.
Sementara itu, dalam satu kenyataan media, Rustam berkata, lawatan Anwar ke Kazan memberi impak yang besar.
"Kami amat berbesar hati menerima kehadiran anda. Lawatan anda memberi dorongan kepada kami untuk bekerja dengan lebih giat. Hubungan ini perlu diperkukuh dan ditingkatkan," katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana mengunjungi Tatarstan dan menyertai Kazan Forum 2025.
"Ia amat menggembirakan apabila satu delegasi yang berwibawa daripada kalangan perniagaan turut serta dalam forum itu bersama anda.
"Kazan Forum telah diadakan dalam status persekutuan selama tiga tahun dan menjadi platform utama untuk menjalin kerjasama antara Rusia dan negara-negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.
"Ia juga satu penghormatan besar bagi kami kerana anda turut serta dalam mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Rusia-Dunia Islam (bagi forum ini)," kata Rustam.
Beliau turut berterima kasih kepada Anwar atas sokongan yang diberikan oleh Malaysia dan menegaskan, Tatarstan amat mementingkan pembangunan kerjasama dengan Malaysia dalam rangka hubungan mesra Rusia-Malaysia.
Terdapat peningkatan dalam jumlah dagangan dua hala dan hubungan berkembang dalam sektor pertanian, minyak dan gas serta petrokimia, teknologi maklumat dan beberapa bidang lain, katanya.
"Republik kami merupakan wilayah perintis untuk pelaksanaan prinsip perbankan dan pembiayaan Islam (kerjasama) di Rusia.
"Kami juga melaksanakan banyak usaha dari segi membangunkan industri halal. Ini juga merupakan bidang yang berpotensi tinggi untuk kerjasama kita.
"Rakan-rakan kami dari Malaysia memberikan sokongan yang baik. Kami belajar daripada anda dan menggunakan amalan yang terbaik," katanya.
Terdahulu, beliau menghadiahkan Perdana Menteri sebuah koleksi puisi dalam bahasa Inggeris oleh penyair klasik kesusasteraan Tatar Gabdulla Tukai.
Lawatan rasmi Anwar ke Rusia bermula di Moscow pada 13 Mei dan akan berakhir hari ini.
Republik Tatarstan terletak di bahagian timur benua Eropah di pertemuan sungai Volga dan Kama, dengan jarak sejauh 797 km dari Moscow.
Ia meliputi wilayah seluas 68,000 km2, iaitu kira-kira saiz negara seperti Ireland, Lithuania atau Sri Lanka.
Tatarstan juga terkenal dengan tapak UNESCO, Kompleks Sejarah dan Arkeologi Bolgar, dahulunya merupakan ibu kota Volga Bulgaria dan kini menjadi lokasi ziarah bagi umat Islam serta khazanah berharga bagi mereka yang meminati sejarah.
Sumber kekayaan utama wilayah ini ialah minyak, dengan industri petrokimia yang kukuh.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami