MALAYSIA
Resepi turun-temurun muruku, omapodi buatan sendiri hidangan wajib Deepavali
S. Artiletchumy menunjukkan dua hidangan tradisi wajib keluarga, seperti muruku dan omapodi yang disediakan menggunakan resipi turun-temurun sejak tiga generasi. - Gambar/ Bernama
BATU PAHAT: Setiap kali tibanya Deepavali, aroma rempah dan minyak sapi mula memenuhi ruang rumah masyarakat India di seluruh negara.
Bagi S. Artiletchumy,60, sambutan perayaan cahaya itu tidak lengkap tanpa dua hidangan tradisi wajib keluarga, seperti muruku dan omapodi yang disediakan menggunakan resipi turun-temurun sejak tiga generasi.
Warga emas yang menetap di Jalan Jeragan, Batu Pahat itu, berkata pembuatan dua snek tradisi berkenaan bukan sekadar memenuhi juadah perayaan, tetapi lambang kasih sayang dan warisan keluarga yang sentiasa dipelihara setiap kali perayaan Deepavali.
"Resipi ini saya pelajari daripada ibu ketika masih remaja. Ibu pula belajar daripada nenek saya. Setiap kali kami sekeluarga berkumpul untuk membuat muruku dan omapodi, terasa semangat Deepavali itu hadir bukan sekadar memasak, tapi menyatukan keluarga," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya, baru-baru ini.
Artiletchumy berkata walaupun kini ramai memilih untuk membeli makanan tradisi siap dijual di pasaran, keluarganya tetap setia membuat sendiri kerana baginya air tangan sendiri membawa kepuasan yang tidak ternilai.
Malah, semangat itu turut diwarisi oleh generasi muda keluarganya apabila dia kini berkongsi resipi turun-temurun itu dengan menantunya R. Devayanni, 27, dan anak saudaranya yang juga seorang cef M. Devesh, 26.
"Saya mahu mereka teruskan tradisi ini. Bila ibu sudah tiada nanti, biarlah mereka pula meneruskan," katanya.
Setiap kali menjelang Deepavali, kediaman Artiletchumy meriah ibarat 'kilang kecil' apabila menerima tempahan muruku dan omapodi daripada penduduk sekitar, bukan sahaja kaum India, tetapi juga pelanggan berbangsa Cina dan Melayu.
"Ramai yang tunggu setiap tahun. Saya tak menang tangan. Tapi saya gembira kerana ini juga cara saya menyemarakkan semangat Deepavali berkongsi rezeki dan kebahagiaan dengan semua kaum," katanya yang dibantu kakak iparnya, N. Bimala, 60, serta beberapa ahli keluarga lain.
Proses membuat muruku memerlukan kesabaran kerana adunannya yang terdiri daripada tepung muruku, tepung beras, tepung kacang kuda, dal putih, jemuju, bijan dan air, perlu diuli sehingga sebati sebelum digoreng dalam minyak panas.
Selain muruku dan omapodi, antara hidangan tradisi lain yang wajib ada di rumahnya ialah "achu muruku" atau lebih dikenali masyarakat Melayu sebagai kuih ros, serta manisan terkenal, laddu dengan kedua-duanya turut dibuat sendiri berasaskan resipi lama yang diwarisi daripada ibunya.
"Deepavali bukan sekadar tentang cahaya, tetapi tentang cinta, perpaduan dan kenangan bersama keluarga. Bila kami berkumpul, bergelak tawa sambil menguli tepung dan menggoreng muruku, itulah sebenarnya makna sebenar perayaan bagi saya," katanya.
-- BERNAMA