JAKARTA: Indonesia berharap memorandum persefahaman (MoU) mengenai sempadan laut dan darat dengan Malaysia dimuktamadkan tahun depan, kata Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.

Beliau berkata, rundingan sempadan di Laut Sulawesi dan bahagian paling selatan Selat Melaka telah dilakukan sejak 2005, begitu juga dengan sempadan darat di Pulau Sebatik milik Sabah di bahagian Malaysia dan Kalimantan Utara, di bahagian Indonesia.

"Kami mensasarkan pemeteraian MoU tahun depan," katanya di sidang media bersama Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir selepas mesyuarat dua hala, di sini, pada Khamis.

Mesyuarat turut membahas mengenai usaha merancakkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan meningkatkan hubungan laut dan udara melalui koridor ekonomi Dumai-Melaka dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu di Medan.

"Saya juga mencadangkan kepentingan meningkatkan interaksi antara sektor swasta kita dengan menggiatkan semula Majlis Perniagaan Indonesia-Malaysia," kata Retno.

Zambry berada di Indonesia untuk lawatan rasmi tiga hari, diiringi Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Adlan Mohd Shaffieq dan Setiausaha Bahagian Asia Tenggara Wisma Putra, Roseli Abdul.
- BERNAMA