MALAYSIA

Revolusi digital, peranan wartawan semakin mencabar - Zambry

Madiha Abdullah 20/06/2025 | 22:45 MYT
Zambry menyampaikan anugerah tertinggi Tokoh Wartawan Negara diberikan kepada Pengerusi Bernama, Chun Wai. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Revolusi digital telah mengubah landskap media dengan pantas, membawa peluang serta cabaran yang ketara.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, kewartawanan moden kini beroperasi dalam persekitaran yang bergerak pantas, dipacu AI di mana berita tersebar serta-merta dan algoritma mempengaruhi maklumat yang diterima orang ramai.
"Di satu sudut, transformasi digital ini membawa peluang luar biasa, satu platform baharu untuk menyampai berita, analitik data untuk memahami audien dan AI untuk membantu kerja rutin wartawan.
"Namun di sudut lain, ia membawa cabaran getir yang perlu direnungi bersama," katanya.
Beliau menggariskan salah satu kebimbangan utama, iaitu kemunculan "filter bubble", di mana individu hanya terdedah kepada kandungan yang selari dengan kepercayaan mereka yang sedia ada, sekali gus meningkatkan potensi membawa kepada polarisasi yang lebih besar dan pemahaman yang terpesong daripada kebenaran.
Zambry turut menekankan bahaya era pasca normal dan pasca kebenaran, dengan penyebaran maklumat salah dan teori konspirasi semakin berleluasa, menghakis keyakinan orang ramai terhadap media.
"Di sinilah wartawan moden mesti kembali kepada asas, berpegang teguh kepada kebenaran dan tanggungjawab sosial.
"Komitmen terhadap kebenaran dan tanggungjawab sosial menjadikan profesion kewartawanan tunjang masyarakat berinformasi,"katanya lagi.
Zambry menambah, Kementerian Pengajian Tinggi komited untuk memastikan kurikulum kewartawanan kekal relevan, menggabungkan AI, analisis data, undang-undang siber dan etika profesional.
Beliau turut menggalakkan kerjasama yang lebih kukuh antara universiti dan organisasi media melalui penyelidikan bersama, latihan dan kolokium berfokuskan etika.
Beliau berkata demikian dalam Malam Wartawan Malaysia dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI - Petronas 2025, pada Jumaat.
Majlis itu juga menyaksikan pelancaran e-Jurnal Kewartawanan yang pertama terbitan Malaysian Press Institute (MPI).
Penerbitan e-Jurnal ini merupakan satu lagi usaha MPI dalam memperkasakan penulisan ilmiah dalam kalangan wartawan terutama dalam aspek kajian berkaitan kewartawanan, media dan komunikasi.
#Zambry Abdul Kadir #Media #wartawan