GEORGE TOWN: Kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan melaksanakan tender terbuka secara permintaan cadangan (RFP) untuk menyediakan perkhidmatan teksi air bermula Isnin ini sebagai usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pulau negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata ia merupakan satu alternatif kaedah pengangkutan yang mudah dicapai di kawasan pulau dan akses tambahan kepada orang awam untuk perjalanan jarak jauh di kawasan bandar, contohnya perjalanan transit kerja, urusan kerajaan, aktiviti harian, urusan peribadi dan sebagainya.

''Projek ini masih baharu dan agak sukar untuk kita ramalkan namun kita harap ada yang mahu melabur, sekiranya semua berjalan lancar, perkhidmatan teksi air ini dapat diperkenalkan pada 2024,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Perkhidmatan teksi air adalah sebahagian daripada rancangan yang dikemukakan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri itu.

Difahamkan, jeti teksi air itu akan dibina di empat lokasi iaitu di Straits Quay, Terminal Swettenham Pier, Batu Maung dan Pulau Jerejak.

"Syarikat yang ingin menyertai RFP ini dikehendaki mematuhi syarat dan keperluan seperti yang dinyatakan di dalam dokumen RFP. Tarikh iklan untuk RFP ini adalah pada 12 Dis, penjelasan RFP daripada MBPP pada 19 Dis dan tarikh tutup penyertaan RFP adalah pada 27 Feb.

"Selepas itu MBPP dan agensi berkaitan akan membuat penilaian, sekiranya lancar mungkin pada pertengahan 2023 kita dapat tawarkan tender dan teruskan perancangan untuk merealisasikan teksi air ini,'' katanya.

Beliau berkata syarikat yang ingin menyertai RFP hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pertubuhan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) serta mempunyai modal berbayar sekurang-kurangnya RM500,000.

Sementara itu, Zairil turut menafikan dakwaan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar bahawa PTMP yang direka bentuk 10 tahun lepas tidak melibatkan penyertaan perunding bebas dan pakar antarabangsa.

Mengulas mengenai beberapa NGO berkaitan alam sekitar mencadangkan kerajaan Pusat mengkaji semula PTMP dengan penyertaan pakar antarabangsa bagi mencari penyelesaian mampan berhubung projek itu, beliau berkata ia tidak perlu dilakukan memandangkan kerajaan Pulau Pinang telah melaksanakan kajian cadangan projek itu dengan panel perunding antarabangsa sebelum ini.

''Yang kita buat PTMP ini juga kita sudah lantik perunding antarbangsa, tak sepatutnya isu ini wujud," katanya.

Semalam media melaporkan Penang Forum, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan NGO berkaitan alam sekitar mencadangkan Kerajaan Pusat mengkaji semula PTMP dengan penyertaan pakar antarabangsa bagi mencari penyelesaian mampan berhubung projek itu.

--BERNAMA