RHB Bank diperintah kemuka garis panduan MDD kepada Maritime Network

Pengarah Maritime Network Datuk Seri R Jeyenderan (kanan), peguam P Taneswaran (tengah), dan peguam James Joshua Paulraj (kiri) - Foto/BERNAMA
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengarahkan RHB Bank Berhad mengemukakan garis panduan usaha wajar minimum (MDD) bagi institusi kewangan itu yang mengawal urus niaga pertukaran asing untuk sebuah syarikat perkapalan dalam tempoh 45 hari, berkuat kuasa hari ini.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan NP Ravinthran dan Faizah Jamaludin, yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan penemuan praperbicaraan oleh Maritime Network Sdn Bhd.
Mengesahkan perkara itu, peguam P Taneswaran bersama-sama James Joshua Paulraj dan Kavitharini Ramesh yang mewakili Maritime Network Sdn Bhd, berkata panel tersebut turut menolak permohonan penangguhan oleh peguam Gan Khong Aik, Lee Sze Chin serta Tong Min Jie bagi pihak bank berkenaan.
“Hari ini, panel tersebut mendengar rayuan kami dan membenarkannya. Mahkamah kemudian mengarahkan pihak bank untuk mengemukakan dokumen berkaitan dalam tempoh 45 hari,” menurutnya dalam mesej teks.
Pada 2 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Leong Wai Hong menolak permohonan Maritime Network atas alasan dokumen yang diminta tidak diperlukan dan memerintahkan syarikat perkapalan itu membayar kos RM10,000 kepada RHB Bank Berhad.
Permohonan penemuan praperbicaraan adalah satu proses undang-undang yang membolehkan mana-mana pihak dalam kes sivil memperoleh dokumen atau maklumat daripada pihak lawan sebelum perbicaraan bermula.
Maritime Network memfailkan saman pemula pada 3 Mac lalu bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk memaksa bank itu mendedahkan garis panduan dalaman dan prosedur usaha wajarnya yang mengawal urus niaga pertukaran asing.
Tindakan itu, yang dimulakan oleh Pengarah Maritime Network R Jeyenderan, telah menamakan RHB Bank Berhad sebagai defendan tunggal.
Ditubuhkan pada 2002, Maritime Network memulakan prosiding itu selepas mendapati terdapat beberapa pemindahan dana antarabangsa ke dalam akaun pelbagai mata wang telah dipulangkan tanpa sebarang notis awal atau justifikasi mencukupi.
Menurut afidavit syarikat itu, semua pemindahan ini meskipun berasal daripada pengirim yang tidak dikenali sebelum ini, secara jelas merujuk kepada invois sah dikeluarkan Maritime Network.
Walaupun Maritime Network telah meminta bank itu menangguhkan sebarang pemulangan sehingga semakan menyeluruh dilakukan, dana tersebut tetap dipulangkan.
Sementara itu, RHB Bank Berhad mendakwa bahawa ia telah mematuhi piawaian kewangan ditetapkan iaitu MDD.
Oleh itu, syarikat berkenaan menuntut agar garis panduan MDD yang digunakan oleh bank tersebut dikemukakan menerusi penemuan praperbicaraan bagi menentukan sama ada RHB Bank Berhad telah melanggar tanggungjawab kewajipan berjaga-jaga.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


