Ribuan terputus hubungan, jambatan Bailey akan dibina di Felda Selancar

Hasimi Muhamad
Mac 1, 2023 12:02 MYT
Ahmad Zahid berkata beliau telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menyediakan peruntukan bagi membina jambatan berkenaan. - Foto/Facebook Zahid Hamidi
JAMBATAN Bailey akan dibina di Felda Selancar, Rompin selepas laluan utama ke kawasan tanah rancangan terbabit runtuh awal pagi tadi akibat banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menyediakan peruntukan bagi membina jambatan berkenaan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) akan dikerah ke lokasi kejadian dan segera membina jambatan Bailey yang dijangka siap dalam tempoh 48 hingga 72 jam.
"Saya telah menghubungi Panglima Tentera Darat untuk memobilisasi Kor RAJD, dan yang paling penting ialah jambatan ini akan dipasang sebaik sahaja ia sampai.
"Pemasangan akan mengambil masa antara 48 jam hingga 72 jam. Namun, ini sekurang-kurangnya akan dapat membantu penduduk di sini untuk terus melakukan urusan perjalanan," katanya dalam rakaman video pada Rabu.
Sebelum itu, Ahmad Zahid bersama Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Aminurrahim Mohamed meninjau keadaan jalan yang terputus di Rompin.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata ribuan penduduk terjejas akibat terputus hubungan, selain terdapat kira-kira 110 pelajar yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Keadaan itu, jelas beliau menyebabkan pelajar-pelajar berkenaan tidak dapat menduduki peperiksaan kerana kertas peperiksaan tidak sampai ke lokasi.
"Terdapat seorang pesakit dialisis yang sedang diusahakan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya, dan terdapat seorang ibu yang bersalin tetapi pihak ambulans telah membawa ibu itu untuk pergi ke klinik besar yang berdekatan.
"Namun yang paling penting di sini ialah tindakan cepat yang dilakukan oleh pihak Nadma, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," ujarnya.
Beliau dalam masa yang sama mengingatkan agar penduduk di kawasan yang terdedah banjir agar mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa.
Terdahulu,Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Azahari Mukhtar berkata, jalan utama Felda Selancar ditutup kedua-dua arah ekoran jalan tersebut telah runtuh akibat limpahan air deras berikutan hujan lebat.
#banjir Rompin #Jalan terputus banjir #Ahmad Zahid Hamidi