Ribut Pabuk menghala ke Laut Andaman - KP METMalaysia

Astro Awani
Januari 5, 2019 00:35 MYT
Bot-bot nelayan ditambat secara rapat di sebuah muara sungai di Pattani sebagai persiapan menerima terjahan Pabuk. - Reuters
Ribut Tropika Pabuk kini berada di kedudukan 8.6 darjah utara, 98.9 darjah timur dan dijangka bergerak 15 kilometer sejam ke arah barat laut menuju Laut Andaman.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Alui Bahari berkata, keadaan itu boleh menyebabkan hujan lebat dan angin kencang melebihi 50 kilometer sejam.
"Ketinggian ombak pula dijangka melebihi 3.5 meter di perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
"Jarak ribut ini dari bandar Arau adalah 225 kilometer dan Langkawi adalah juga 225 kilometer.
"Angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil serta aktiviti rekreasi dan sukan termasul menangkap ikan," katanya dalam satu kenyataan pada pagi Sabtu.
Pada Jumaat, ribut tropika Pabuk dilaporkan berada kira-kira 55 kilometer ke barat daya Surat Thani, Thailand.
MetMalaysia menyatakan, ribut itu bergerak ke arah barat negara itu dengan kelajuan 15km sejam.
Dalam pada itu kata Alui, maklumat ribut Pabuk akan dikemas kini setiap tiga jam di laman sesawang MetMalaysia dan aplikasi myCuaca.
#Kedah #Langkawi #Laut Andaman #pabuk #Perlis #Thailand