Ribut: Persiapan terjejas, sambutan Deepavali ala kadar

Abd Razak Mohd Ali
November 9, 2023 23:45 MYT
Thanival menunjukkan sebahagian bumbung rumah yang diterbangkan ribut dalam kejadian pada Rabu. Kerosakan pada rumah mereka turut menjejaskan persiapan Deepavali yang bakal disambut Ahad ini. - Foto Astro AWANI
IPOH: Kejadian ribut yang berlaku di Taman Klebang Jaya, Chemor, dekat sini, pada Rabu turut menjejaskan persiapan keluarga yang akan menyambut Deepavali, Ahad ini.
Ribut yang berlaku sekitar jam 2.30 petang itu menyebabkan sebahagian bumbung rumah mereka diterbangkan angin.
Seorang mangsa, K Munimah, 51 tahun, berkata, ketika kejadian dia dan keluarga sedang bersiap untuk membuat kuih bagi meraikan perayaan tersebut.
"Saya sudah siap muruku untuk dibawa ke rumah anak di Ulu Tiram, Johor dan cadangnya saya hendak buat satu lagi kuih raya tetapi tidak sempat.
"Saya terpaksa tangguhkan dulu, walaupun anak sudah tempah tiket kereta api, tetapi lihat rumah rosak begini, sehinggalah rumah dapat dibaiki," katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi mangsa, D Thanival, 66 tahun, berkata, ribut yang merosakkan 49 rumah lain merupakan kejadian terburuk pernah berlaku di kawasan perumahannya sejak 2015.
Menurutnya, ketika kejadian, mereka sekeluarga berada di hospital dan bergegas pulang selepas jiran memaklumkan bumbung rumah diterbangkan angin dan air masuk.
"Banyak perkakas elektrik rosak dan kami bimbang keadaan siling yang hampir runtuh,” ujar pesara tentera itu yang berharap mendapat bantuan segera bagi meringankan beban mereka.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri berkata, agensi yang berkaitan akan menyalurkan bantuan untuk membaik pulih bumbung rumah yang mengalami kerosakan teruk.
"Kami jangka kerosakan rumah penduduk melibatkan kos tinggi terutama lapan rumah yang dikenal pasti rosak teruk kerana kehilangan bumbung yang memerlukan pembaikan segera,” katanya.
Beliau memberitahu, pihak berkenaan sudah mula turun padang untuk melihat dan menilai kerosakan yang berlaku.
#ribut #Deepavali #Mohd Hafez Sabri #bumbung rumah diterbangkan angin